Saturday, June 18, 2011

PERASMIAN KURSUS HAJI DI MASJID JAMEK HJ MAT SAMAN

Kursus Haji yang diadakan selama 17 minggu bertempat di Masjid Jamek Hj Mat Saman telah pun berakhir pada 18/06/2011. Kursus tersebut atas kerjasama Masjid Jamek Hj Mat Saman bersama Lembaga Tabung Haji Daerah Hulu Langat di mana ianya di kawal selia oleh JKKK Sg Ramal Luar.

Pada hari terakhir kursus tersebut, ADUN Bangi YB Dr Shafie Abu Bakar sempat meluangkan masa untuk sama-sama hadir bagi merasmikan kursus tersebut. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengurus Lembaga Tabung Haji Daerah Hulu Langat Tn Hj Johan bin Md Noh. Tidak ketinggalan juga Pengerusi JKKK Sg Ramal Luar (Ketua Kampung) Tn Hj Mohd Yusof bin Hj Abd Kadir, Tn Nazir Masjid Tn Hj Nik Pa bin Nik Leh, AJK Masjid dan AJK JKKK Sg Ramal Luar.

Saturday, June 4, 2011

KEBAKARAN DI KHOO KAI BOH - 24hb Mei 2011

Pada 24 hb Mei 2011 hari Selasa jam 03.30 petang berlaku perkara yang semua tidak inginkan iaitu kebakaran di perumahan Khoo Kai Boh yang melibatkan 3 buah rumah rosak teruk sehingga kesemua penghuni ketiga-tiga rumah tersebut tinggal sehelai sepinggang.



Antara mangsa kebakaran adalah dari kalangan warga emas, Pak Cik Haji Mohd Nor dan Raja Ta`yah yang mempunyai satu-satunya rumah bagi dijadikan tempat berteduh dan berlabuh dalam meniti hidup sebelum berakhirnya hayat. Jika selama ini mereka di dalam keadaan tenang, tetapi bila rumah terbakar, bayangkan kegusaran hidup mereka – tanpa menafikan semuanya takdir.

Semasa kebakaran, Ketua Kampung Tn Hj Muhamad Yusoff bin Hj Abdul Kadir bersama dengan Adun Bangi YB Dr Shafie Abu Bakar berkesempatan bersama-sama dengan Tuan Haji Mohd Nor seorang mangsa yang rumahnya terbakar dengan tubuhnya terdedah dan kusut masai dengan rambutnya uban memutihi kepala, membayangkan betapa berat diri dan batinnya menanggung ujian kebakaran, lebih-lebih lagi Raja Ta`yah yang rumahnya paling teruk terbakar yang Ketua Kampung dan Adun sempat melawatnya di rumah jiran semasa terbakar dan hingga kini beliau belum pulih dari trauma.

Ramai yang bersimpati dengan kejadian tersebut malah Ketua Kampung dihubungi oleh pihak ADUN memberitahu bahawa salah seorang Exco Kerajaan Selangor, YB Teresa Kok akan datang sendiri melawat kawasan disamping memberi sedikit bantuan pada 29hb Mei 2011.

Pada hari tersebut turut hadir adalah YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Puan Norfaezah bt. Omar Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat, Haji Shafie Ngah Ahli MPKj, En. Yusof Bachik Ahli MPKj, En. Steven Chan Ahli MPKj, Tuan Haji Rusli Muhibat Ketua Penghulu Kawasan Kajang, saudara Hamidi Ketua Cabang, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Haji Mat Saman, mangsa-mangsa kebakaran dan orang ramai yang turut sama meraikan simpati.



YB Teresa Kok menyatakan beliau hadir bukan atas kapasiti Exco, tetapi sebagai Adun Kinrara dan peruntukan atau derma yang akan disampaikan adalah dari peruntukan Adun Kinrara. Penyampaian derma pada tengahari itu adalah dari tiga pihak, iaitu dari YB Teresa Kok, diikuti derma dari Adun Bangi sebagai tambahan dari peruntukan yang telah disampaikan pada hari berlakunya kebakaran dan derma dari Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar yang disampaikan oleh Nazirnya Tuan Haji Nik Pa bin Nik Leh. Mereka yang menerima derma dengan tiga kali terima ialah:
1. Raja Ta`yah binti Raja Abdullah (85) – masih trauma diwakili oleh anaknya Cik Wan
Sarah (paling teruk kerosakan)
2. Tuan Haji Mohd Nor bin Moin (78) (Kedua terbanyak rosak)
3. En. Wasfi Idris (ketiga terbanyak rosak – Wakil)
Manakala yang lain mengalami kerosakan ringan iaitu:
1. Puan Zaiton
2. Puan Normah
3. En. Zaini Zaid bin Mat Tahir
4. En. Azaman Samin

Selepas penyampaian bantuan, para hadirin menyaksikan kerosakan yang dialami, terutama tiga rumah terawal. Rumah Tuan Haji Mohd Nor bin Moin sudah mulai dibaiki kembali, tetapi rumah Puan Ta`yah tak boleh dibaiki melainkan selepas 21 hari, iaitu selepas pihak bomba membuat laporan.
JKKK Sg Ramal Luar amat bersimpati dengan mangsa kebakaran, terutama tiga pemilik yang rumah mereka terbakar teruk. Kami akan berusaha menambahkan bantuan, semoga rumah-rumah yang rosak dapat dibaiki segera dan pemilik-pemilik dapat kembali menghuni rumah masing-masing - menikmati kembali ketenangan dan kebahagian dengan keluarga yang dicintai.
Sekian.