Tuesday, November 22, 2011

PROGRAM BERKHATAN BERAMAI-RAMAI

Hari pertama cuti sekolah iaitu pada 19/11/2011, JKKK Sg Ramal Luar dengan kerjasama Masjid Jamek Hj Mat Saman telah menganjurkan Program berkhatan beramai-ramai. Program ini akan dijadikan program tahunan dimana pada tahun lepas juga diadakan dengan meriah sama seperti tahun ini. Peserta pada tahun ini adalah seramai 20 orang. Seramai 5 orang petugas termasuk doktor daripada Hospital Pakar Kampung Baru telah melaksanakan tugas dengan jayanya. Pengarah Program Sdr Azman Bahar Juani mula membuka kaunter pendaftaran pada pagi tersebut seawal jam 07.00 pagi. Aturcara program tersebut sebenarnya bermula pada malam sebelumnya dimana pihak Masjid telah mengadakan bacaan yassin dan doa selamat untuk semua peserta. Peserta-peserta ini di arak dengan diringi Selawat ke Atas Nabi Muhammad S.A.W. Kemudian semua peserta bersama-sama Pengerusi JKKK merangkap Ketua Kampung telah disiram oleh Nazir masjid sebagai simbolik bagi memeriahkan lagi program tersebut. Program ini berakhir jam 12.30 tgh.

Thursday, November 10, 2011

PERTANDINGAN ANUGERAH KETUA KAMPUNG TERBAIK DAERAH HULU LANGAT

Atas kerjasama semua pihak dan AJK JKKK Sg Ramal Luar, Ketua Kampung Sg Ramal Luar Tn Hj Mohd Yusof bin Hj Abdul Kadir dianugerahkan Ketua Kampung Terbaik bagi seluruh Daerah Hulu Langat. Oleh itu beliau mewakili Daerah Hulu Langat di pertandingkan ke peringkat Negeri Selangor.Pada 09/11/2011 hari Rabu telah dikunjungi oleh Majlis Panel Penilai bagi mengadakan penilaian terhadap segala komitmen Ketua Kampung dan semua AJK JKKK berserta lawatan ke pusat operasi JKKK dan mengadakan dialog bersama. Berbagai persolan yang ditimbulkan oleh pihak Panel Penilai bagi mempastikan Anugerah Ketua Kampung Terbaik benar-benar dapat kepada yang berhak.

Saturday, September 24, 2011

MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Masjid Jamek Hj Mat Saman bersama JKKK Sg Ramal Luar diadakan pada 22/09/2011 bersamaan 24 Syawal 1432 hari Khamis bermula dari jam 06.00 petang hingga 10.00 malam.
Pada tahun ini jamuan tersebut diadakan berlainan sedikit jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya di mana setiap menu yang dihidangkan adalah hasil kerjasama AJK Masjid dan JKKK mengadakan gotong royong memasak. Pada malam sebelumnya lagi masing-masing sibuk menyediakan bahan-bahan dan seawal jam 7.00 pagi pada 22/09/2011 hari Khamis masing-masing telah mengambil tempat dan bersedia dengan tugas masing-masing bagi mempastikan setiap menu yang dipersetujui dapat disiapkan sebelum jam 05.00 petang.
Pada jam 06.00 petang semua menu telah terhidang dan pengunjung dah mula sampai. Jamuan terhenti seketika untuk beri laluan kepada hadirin mengerjakan solat maghrib. Selepas waktu maghrib, majlis disusuli pula dengan bacaan yassin, meraikan bakal-bakal haji dan sumbangan anak-anak yatim. Jamuan disambung semula selepas solat Isyak. Keseluruhan AJK yang terlibat amat berpuas hati dengan kehadiran tetamu yang begitu ramai sehingga semua menu yang disediakan tidak mencukupi malah ada diantara AJK tidak sempat merasa tetapi terpancar kepuasan di wajah masing-masing.

Saturday, June 18, 2011

PERASMIAN KURSUS HAJI DI MASJID JAMEK HJ MAT SAMAN

Kursus Haji yang diadakan selama 17 minggu bertempat di Masjid Jamek Hj Mat Saman telah pun berakhir pada 18/06/2011. Kursus tersebut atas kerjasama Masjid Jamek Hj Mat Saman bersama Lembaga Tabung Haji Daerah Hulu Langat di mana ianya di kawal selia oleh JKKK Sg Ramal Luar.

Pada hari terakhir kursus tersebut, ADUN Bangi YB Dr Shafie Abu Bakar sempat meluangkan masa untuk sama-sama hadir bagi merasmikan kursus tersebut. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengurus Lembaga Tabung Haji Daerah Hulu Langat Tn Hj Johan bin Md Noh. Tidak ketinggalan juga Pengerusi JKKK Sg Ramal Luar (Ketua Kampung) Tn Hj Mohd Yusof bin Hj Abd Kadir, Tn Nazir Masjid Tn Hj Nik Pa bin Nik Leh, AJK Masjid dan AJK JKKK Sg Ramal Luar.

Saturday, June 4, 2011

KEBAKARAN DI KHOO KAI BOH - 24hb Mei 2011

Pada 24 hb Mei 2011 hari Selasa jam 03.30 petang berlaku perkara yang semua tidak inginkan iaitu kebakaran di perumahan Khoo Kai Boh yang melibatkan 3 buah rumah rosak teruk sehingga kesemua penghuni ketiga-tiga rumah tersebut tinggal sehelai sepinggang.



Antara mangsa kebakaran adalah dari kalangan warga emas, Pak Cik Haji Mohd Nor dan Raja Ta`yah yang mempunyai satu-satunya rumah bagi dijadikan tempat berteduh dan berlabuh dalam meniti hidup sebelum berakhirnya hayat. Jika selama ini mereka di dalam keadaan tenang, tetapi bila rumah terbakar, bayangkan kegusaran hidup mereka – tanpa menafikan semuanya takdir.

Semasa kebakaran, Ketua Kampung Tn Hj Muhamad Yusoff bin Hj Abdul Kadir bersama dengan Adun Bangi YB Dr Shafie Abu Bakar berkesempatan bersama-sama dengan Tuan Haji Mohd Nor seorang mangsa yang rumahnya terbakar dengan tubuhnya terdedah dan kusut masai dengan rambutnya uban memutihi kepala, membayangkan betapa berat diri dan batinnya menanggung ujian kebakaran, lebih-lebih lagi Raja Ta`yah yang rumahnya paling teruk terbakar yang Ketua Kampung dan Adun sempat melawatnya di rumah jiran semasa terbakar dan hingga kini beliau belum pulih dari trauma.

Ramai yang bersimpati dengan kejadian tersebut malah Ketua Kampung dihubungi oleh pihak ADUN memberitahu bahawa salah seorang Exco Kerajaan Selangor, YB Teresa Kok akan datang sendiri melawat kawasan disamping memberi sedikit bantuan pada 29hb Mei 2011.

Pada hari tersebut turut hadir adalah YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Puan Norfaezah bt. Omar Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat, Haji Shafie Ngah Ahli MPKj, En. Yusof Bachik Ahli MPKj, En. Steven Chan Ahli MPKj, Tuan Haji Rusli Muhibat Ketua Penghulu Kawasan Kajang, saudara Hamidi Ketua Cabang, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Haji Mat Saman, mangsa-mangsa kebakaran dan orang ramai yang turut sama meraikan simpati.



YB Teresa Kok menyatakan beliau hadir bukan atas kapasiti Exco, tetapi sebagai Adun Kinrara dan peruntukan atau derma yang akan disampaikan adalah dari peruntukan Adun Kinrara. Penyampaian derma pada tengahari itu adalah dari tiga pihak, iaitu dari YB Teresa Kok, diikuti derma dari Adun Bangi sebagai tambahan dari peruntukan yang telah disampaikan pada hari berlakunya kebakaran dan derma dari Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar yang disampaikan oleh Nazirnya Tuan Haji Nik Pa bin Nik Leh. Mereka yang menerima derma dengan tiga kali terima ialah:
1. Raja Ta`yah binti Raja Abdullah (85) – masih trauma diwakili oleh anaknya Cik Wan
Sarah (paling teruk kerosakan)
2. Tuan Haji Mohd Nor bin Moin (78) (Kedua terbanyak rosak)
3. En. Wasfi Idris (ketiga terbanyak rosak – Wakil)
Manakala yang lain mengalami kerosakan ringan iaitu:
1. Puan Zaiton
2. Puan Normah
3. En. Zaini Zaid bin Mat Tahir
4. En. Azaman Samin

Selepas penyampaian bantuan, para hadirin menyaksikan kerosakan yang dialami, terutama tiga rumah terawal. Rumah Tuan Haji Mohd Nor bin Moin sudah mulai dibaiki kembali, tetapi rumah Puan Ta`yah tak boleh dibaiki melainkan selepas 21 hari, iaitu selepas pihak bomba membuat laporan.
JKKK Sg Ramal Luar amat bersimpati dengan mangsa kebakaran, terutama tiga pemilik yang rumah mereka terbakar teruk. Kami akan berusaha menambahkan bantuan, semoga rumah-rumah yang rosak dapat dibaiki segera dan pemilik-pemilik dapat kembali menghuni rumah masing-masing - menikmati kembali ketenangan dan kebahagian dengan keluarga yang dicintai.
Sekian.

Sunday, April 17, 2011

PROGRAM TUISYEN RAKYAT SELANGOR (DUN BANGI)

Bagi pelajar yang berminat, pendaftaran masih di buka. Pertanyaan lanjut sila hubungi Sakinah di 019-4328684 atau Aisyah 013-7017920. Muat turun borang di http://www.4shared.com/document/zinjKWWa/PTRS2011_-_Borang_Pendaftaran.html

ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG

Bagi seluruh penduduk di bawah JKKK Sg Ramal Luar di minta supaya menyerahkan nama pelajar ke Pejabat ADUN Bangi atau melalui Ketua Kampung Tn Hj Mohd Yusoff bin Abd Kadir untuk penganugerahan Pelajar Cemerlang yang akan diadakan pada 24 April ini. Kelayakan adalah seperti berikut:

1. Semua A untuk semua subjek dalam SPM 2010 atau;
2. PNGK 3.5 dan ke atas dalam STPM 2010 atau;
3. Mumtaz dalam STAM 2010

Sila bawa salinan slip keputusan peperiksaan ke Pejabat ADUN Bangi sebelum JUMAAT INI, 15 April 2011.

Hubungi Pejabat ADUN : 03-89250891 untuk maklumat lanjut, sekian terima kasih.

Monday, February 7, 2011

PROGRAM YB MASUK KAMPUNG - 30/01/2011 hingga 03/02/2011


Program YB masuk kampung di Sungai Ramal Luar berlangsung selama 5 hari berturut-turut bermula pada 30/01/2011 (Ahad) hingga 03/02/2011 (Khamis). Majlis Pelancaran bagi program tersebut bertempat di Pusat Komuniti Baitul Imtiaz, Sg Ramal Baru. Walaupun pada hari tersebut cuaca kurang memuaskan dengan diturunkan hujan rahmat tetapi tidak mematahkan semangat petugas-petugas untuk meneruskan aktiviti seperti yang di rancang. Kehadiran penduduk setempat dan anak-anak yang mempunyai kegiatan sendiri seperti pertandingan mewarna dan permainan tradisi. Aktiviti hari pertama termasuklah menyaksikan pertandingan futsal di kalangan anak-anak muda di sini. 12 pasukan mengambil bahagian. Penyampaian hadiah disampaikan oleh Adun kepada pasukan-pasukan yang menang. Kejayaan program yang dinamakan YB masuk Kampung adalah bergantung pada banyak pihak, terutama penduduk tempatan yang diketuai oleh Ketua kampong Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir, Ketua Cawangan dan ahli-ahli yang diketuai saudara Fuad, pihak Masjid diketuai Tuan Nazir Tuan Haji Nik Pa Nik Leh dan AJK parti dan Khidmat Masyarakat yang digerakkan oleh Ustaz Shafie Ngah selaku Pengarah dan Timbalan YDP. Antara salah satu aktiviti dalam program ini adalah ziarah pemimpin / bekas pemimpin setempat dan orang sakit tidak mengira latar belakang politik.

Hari kedua bermula dengan Makan Pagi Bersama Penduduk di Restoran Azizah dan meneruskan kegiatan sebagaimana semalam dengan pembukaan kaunter, penculaan yang didahului kalangan muslimat dan Ziarah Pemimpin-pemimpin setempat. Ternyata ziarah memberi impak yang baik, iaitu menceriakan mereka yang sakit dan memesrakan pertemuan. Beberapa lawatan bukan saja membawa kenangan nostalgia bagi mereka yang diziarah dan yang menziarah, tetapi membuat yang diziarah menangis kerana terlalu terharu diziarahi dan terlerai rindu bersendiri selama ini, kerana tidak diziarahi.


Hari ketiga bermula dengan makan pagi bersama penduduk di Restoran Camar, berindukkan surau setempat dengan ziarah juga dilakukan, demikian pembukaan kaunter dan penculaan di sekitar Sungai Ramal Indah berdekatan dengan kawasan perumahan elit. Satu kematian berlaku di rumah pangsa Taman Sri Kenari, iaitu ditingkat lapan. Lif rosak dan jenazah terpaksa diusung turun dan disempurnakan urusan jenazah di Masjid Haji Mat Saman. Adun turut sama menyembahyangkan jenazah. Peristiwa pengusungan jenazah dari tingkat lapan ke bawah ini menjadi berita utama Sinar pada Rabu 02 Februari 2011 dengan tajuk `Jenazah Turun Tangga`. Akibat dari peristiwa ini perundingan dilakukan bagi mengatasi kerumitan yang dihadapi penduduk tanpa lif. Selepas ini lif berfungsi – mungkin buat sementara sehingga masalah tunggakan dan yuran bulanan dapat diselesaikan.

Hari keempat adalah penerusan dari program dengan makan pagi bersama penduduk di warung berhadapan Sekolah Agama Sungai Ramal dan meneruskan kegiatan di Sungai Ramal Indah yang belum habis diziarah semalam hingga ke tengahari dan berakhir makan tengahari di Restoran Hajah berdekatan dengan Sekolah Leftenan Adnan.


Sebelum Majlis Penangguhan di atas, iaitu pada hari kelima, maka pada hari ini kegiatan adalah berindukkan Masjid Haji Mat Saman dengan makan pagi di sini sebagai program awalan. Hari ini khemah-khemah didirikan di dalam kawasan masjid untuk jamuan penutup. Sementara itu dari pagi ini kegiatan menziarah diteruskan dari rumah ke rumah didahului muslimat dari Kampong Paya hinggalah kembali ke Sungai Ramal Baru. Manakala sebelah petangnya juga zaiarah dilakukan ke rumah-rumah yang masih belum diziarah seperti di Taman Perumahan Khoo Kai Boh. Selama lima hari hampir 80 orang veteran, pesakit dan pemimpin setempat dapat diziarahi.

Maka pada malam penutup ini pada petang Khamis – malam Jumaat diakhiri dengan sembahyang Maghrib berjamaah di Masjid Haji Mat Saman, sembahyang Hajat mendoakan agar pelajar-pelajar Malaysia di Mesir yang sedang bergolak berada di dalam keselamatan, baca Yasin dan Tahlil.
Dalam ucapan ringkas Ustaz Shafie Ngah sebagai Pengarah Program berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program. Ketua Kampung Haji Mohd Yusof Abdul Kadir yang banyak memberi kerjasama menjayakan program juga berterima kasih kerana memilih Sungai Ramal Luar sebagai Pilot Projek bagi YB Masuk Kampung dan Adun Bangi lebih-lebih lagi berterima kasih kepada penduduk setempat yang amat memberi kerjasama dengan segala program yang diadakan. Program yang diakhiri dengan jamuan sate itu boleh disifatkan amat berjaya.